KUCHING: Pemimpin Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina – BIMP-EAGA) mengukuhkan komitmen untuk menangani kesan Covid-19 secara bersama-sama dengan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, BIMP-EAGA akan meningkatkan peranannya sebagai kumpulan membangunkan ASEAN.
“Pemimpin bersetuju mengeratkan kerjasama dalam memulihkan BIMP-EAGA dengan strategi Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN, katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Sidang Puncak BIMP-EAGA Ke-14 secara maya di sini.
Awang Tengah merupakan Menteri Bertanggungjawab ke atas BIMP-EAGA bagi Sarawak bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang puncak berkenaan yang dipengerusikan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Sidang puncak itu dihadiri Sultan Hasannal Bolkiah (Sultan Brunei), Perdana Menteri Malaysia Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Presiden Filipina Rodrigo Duterte, Ketua Pengarah Sekretariat ASEAN, Dato Lim Jock Hoi dan Presiden Bank Pembangunan Asian Masatsugu Asakawa.
Awang Tengah berkata, para pemimpin BIMP-EAGA mendapati pandemik Covid-19 tidak menjejaskan semangat kerjasama dalam kalangan mereka terutama dengan siapnya 27 daripada 88 Projek Infrastruktur Utama (PIP).
Pemimpin komited untuk mengeratkan lagi kerjasama BIMP-EAGA dalam semua sektor, mengukuhkan koridor ekonomi dan zon ekonomi khas, membangunkan rangkaian dagangan dan bekalan dan menarik pelaburan, katanya.
Menurut Awang Tengah, pemimpin BIMP-EAGA percaya infrastruktur berkualiti sangat penting untuk mempercepatkan perdagangan, pergerakan rakyat dan menyediakan perkhidmatan asas di wilayah BIMP-EAGA.
Pemimpin menzahirkan rasa puas hati dengan siapnya beberapa projek infrastruktur utama di wilayah BIMP-EAGA iaitu Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, di Madano – Jalan Tol Bitung dan Jalan Tol Balikpapan ke Samarinda, pelabuahn di Manado dan Puerto Princesa, Kemudahan Tangki Eksport LNG ISO di Pelabuhan Bintulu, Lapangan Terbang Antarabangsa Juwata, Lapangan Terbang Mukah dan Lapangan Terbang Jeneral Santos.
Awang Tengah berkata, pemimpin BIMP-EAGA menggalakkan penyertaan lebih aktif sektor swasta untuk meningkatkan dagangan, pelaburan, sektor pelancongan dan sektor pembangunan sosioekonomi yang lain.
Sumber dari : Jiwa Bakti